10 Aktres popular dahulu vs terkini! | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

10 Aktres popular dahulu vs terkini!

Penulis: Ashraf Nasser

Ada di antara mereka yang semakin jelita apabila semakin berusia.
Ada di antara mereka yang semakin jelita apabila semakin berusia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami menyaksikan industri seni tanah air semakin meriah dengan kebanjiran pelakon-pelakon baru, terutamanya pelakon wanita yang mana hampir kesemua mereka ini mempunyai pakej menawan untuk menarik penonton menonton lakonan mereka.

Kebanjiran pelakon baru ini telah memberi impak positif dan juga negatif kepada industri apabila mereka kini perlu bersaing untuk mendapat kepercayaan penerbit atau pengarah untuk membintangi apa sahaja projek lakonan.

Disebalik ramai pelakon wanita baru muncul, pelakon wanita yang sudah lama bertapak dalam industri sedikit pun tidak 'goyang' dengan kehadiran mereka ini kerana percaya dengan kualiti lakonan mereka yang mantap yang menjadi bukti mengapa mereka masih lagi menjadi rebutan walaupun sudah berusia.

Jadi kali ini Cinema Online ingin menyaraikan 10 pelakon senior ketika zaman muda mereka baru menceburi dunia lakonan dan penampilan mereka ketika ini yang mana pasti akan membuatkan anda terkejut kerana ada dari mereka yang semakin cantik apabila berusia.

Maya Karin

Siapa tak kenal dengan Maya Karin. Wanita kacukan Melayu-Jerman ini memulakan karier dalam dunia seni pada tahun 2001 dan walaupun hampir dua dekad berlalu, aktres berusia 40 tahun ini masih lagi menjadi rebutan penerbit dan pengarah filem. Selain berlakon, Maya turut aktif dalam bidang pengacaraan, peragaan, dan juga nyanyian. Sepanjang kariernya, Maya telah berjaya meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Nasha Aziz

Setelah agak lama menyepikan diri, Nasha Aziz kembali memeriahkan industri seni sejak beberapa tahun lalu. Percaya atau tidak, aktres yang pernah mendapat jolokan 'Supermodel Malaysia' ini hampir berusia setengah abad, namun kejelitaannya mengalah wanita berusia 20an. Memulakan kerjaya seni pada tahun 1989, Nasha masih lagi menjadi pilihan penerbit dan pengarah walaupun sudah lebih tiga dekad berada dalam industri.

Elly Mazlein

Pelakon yang semakin berusia semakin popular; itulah Elly Mazlein a.k.a Kak Lina Pom Pom. Elly memulakan kerjaya seninya pada 1997 sebagai seorang penyanyi sebelum beralih kepada bidang lakonan pula. Sejak dari mula sehingga kini, Elly masih lagi dikenali sebagai seorang pelakon yang sangat 'happy go lucky' dan sentiasa membuatkan orang ramai terhibur dengan gelagatnya. Oleh sebab itu, sehingga kini Elly masih lagi menjadi pilihan untuk berlakon terutamanya projek komedi.

Liyana Jasmay

Walaupun usianya masih muda iaitu 32 tahun, namun Liyana Jasmay bukanlah nama baru dalam industri seni tanah air, sebaliknya aktres kelahiran Kuantan, Pahang ini sudah 23 tahun bertapak dalam dunia seni iaitu sejak berusia 9 tahun lagi. Liyana bukan sahaja berbakat dalam lakonan, tetapi juga hebat dalam bidang nyanyian, dan merupakan seorang usahawan. Sejak beberapa tahun ini, Liyana sudah menyepikan diri dari dunia lakonan kerana mahu beri tumpuan kepada keluarga dan perniagaannya. Malah Liyana juga kini aktif dalam dunia penerbitan dan pengarahan filem yang mana dia menerbitkan filem pertamanya "Bella & Jamie" tahun lalu.

Rozita Che Wan

Sebut sahaja nama Rozita Che Wan dan pasti ramai yang mengenalinya. Nama Rozita atau mesra dengan panggilan mesra Che Ta semakin popular sejak mendirikan rumah tangga dengan Zain Saidin sejak 2013. Che Ta mula masuk dalam dunia glamor pada tahun 1993 sebagai model sebelum beralih ke dunia seni pada 2005, dan sejak dari itu Che Ta terus jadi rebutan penerbit dan pengarah untuk membintangi pelbagai filem, drama, telefilem dan banyak lagi. Walaupun masih dihujani tawaran berlakon, aktres berusia 46 tahun ini kini bersikap selektif terhadap tawaran berlakon. Selain berlakon, Che Ta juga sibuk menguruskan keluarga dan juga perniagaannya.

Tiara Jacquelina

Mungkin ramai 'penonton baru' yang tidak mengenali siapa Tiara Jacquelina kerana aktres itu kini lebih selesa bekerja di belakang tabir menguruskan syarikat produksi miliknya iaitu Enfiniti Productions. Bagaimanapun, minatnya terhadap dunia lakonan tidak pernah luntur kerana dia tetap aktif terutamanya menerusi pementasan teater "Puteri Gunung Ledang" yang diadaptasi dari filem itu yang turut dibintanginya sebagai peneraju. Walaupun sudah lebih tiga dekad, Tiara terus aktif dalam dunia seni dan fokusnya kini lebih ke arah penerbitan televisyen, filem dan teater.

Deanna Yusoff

Kelibat Deanna Yusoff mungkin sudah lama tidak kelihatan di kaca televisyen mahu pun di layar perak, tetapi aktres kelahiran London berusia 53 tahun ini sebenarnya masih aktif dengan dunia seni yang sudah sebati dengan dirinya. Memulakan kerjaya seninya pada tahun 1990, Deanna dengan pantas mencipta nama selepas membintangi filem "Selubung" yang menyaksikan dia meraih banyak anugerah. Kini Deanna bersikap selektif terhadap tawaran dan kali terakhir muncul di layar perak adalah pada tahun 2017 menerusi filem "Aku Haus Darahmu".

Sharifah Amani

Ramai yang akan tertanya-tanya kenapa Sharifah Amani yang baru berusia 34 tahun berada dalam senarai ini. Untuk pengetahuan pembaca semua, Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan Nani ini sebenarnya sudah 28 tahun dalam dunia seni. Nani berasal dari keluarga berdarah seni yang mana ibunya seorang aktres tersohor tanah air Fatimah Abu Bakar. Malah adik beradiknya turut sama terlibat dalam dunia seni. Sama seperti aktres hebat lain, Nani juga bersikap selektif terhadap tawaran berlakon dan hanya terima sekiranya watak dan jalan ceritanya mampu beri impak kepada penonton.

Haliza Misbun

Bakat Haliza Misbun dicungkil oleh pengarah veteran tersohor Rahim Razali pada tahun 90an dan Haliza tidak menunggu lama untuk mencipta nama menjadi salah seorang pelakon popular tanah air ketika ini. Membintangi banyak drama dan filem sepanjang kariernya, antara lakonan paling popularnya termasuk "Cinderella" pada tahun 1998 yang berjaya mencetuskan fenomena ketika itu. Bagaimanapun, aktres berusia 48 tahun itu mula memperlahankan kerjaya seninya yang mana kali terakhir dia membuat penampilan khas adalah dalam filem "Pencuri Hati Mr Cinderella" pada tahun 2017.

Fasha Sandha

Seorang pelakon yang cukup terkenal dengan sikap profesional dan amat berdisiplin walaupun dirinya boleh dikatkan berada pada tahap diva. Sentiasa bersikap merendah diri, Fasha seorang aktres yang sangat senang untuk bekerjasama. Mula mencipta nama pada usia 18 tahun, Fasha mampu menggalas apa sahaja watak yang diberikan kepadanya, termasuklah watak berat yang menjadi 'kepakarannya'. Kini Fasha bukan sahaja berlakon dan menjadi model, tetapi sudah melebarkan sayap seninya ke bidang penerbitan pula menerusi syarikat produksi miliknya.

Cinema Online, 21 Okt 2020

Waktu Tayangan