10 Bintang filem yang hampir kehilangan nyawa di set penggambaran | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

10 Bintang filem yang hampir kehilangan nyawa di set penggambaran

Penulis: Nisa Irina

Siapa sangka para pelakon hebat ini masih kental sehingga hari ini?
Siapa sangka para pelakon hebat ini masih kental sehingga hari ini?

Malang tidak berbau. Itulah peribahasa yang paling sesuai digunakan buat entri kali ini. Industri perfileman bukanlah sesuatu yang mudah dan dipandang remeh. Oleh sebab itu, demi menjayakan sesebuah karya filem atau watak, para pengarah dan pelakon sanggup melakukan apa sahaja, termasuk melakukan aksi lagak ngeri sendiri dan menolak tepi risiko yang berkemungkinan akan berlaku.

Kemalangan boleh berlaku di mana-mana, termasuklah di set penggambaran filem! Biarpun faktor keselamatan sentiasa dititikberatkan oleh pihak produksi, namun ia tidak mampu menghalang kemalangan dari terus berlaku, malah terdapat pelakon-pelakon yang hampir kehilangan nyawa mereka ketika terlibat dengan penggambaran filem. Kali ini, kami tampilkan sepuluh bintang filem terkenal yang melakonkan babak menempah maut sehingga mereka hampir kehilangan nyawa!

Jackie Chan

Sebagai pelakon filem-filem aksi dan seni bela diri, kecederaan memang tidak boleh dielakkan bagi Jackie Chan, memandangkan dia sentiasa memberikan kesempurnaan dalam persembahan aksi lagak ngeri dan koreografi aksinya. Kemalangan paling teruk berlaku ketika dia membintangi filem "Police Story" (1985).

Dalam babak terakhir filem, Jackie meluncur turun dari sebuah tiang dipenuhi lampu elektrik hingga tangannya melecur, menyebabkan dia hilang kawalan dan terjatuh. Impak jatuh itu menyebabkan tulang pinggulnya beralih, tulang belakangnya patah serta hampir separa lumpuh. Siasatan mendapati salah seorang kru memasang plug lampu pada jana kuasa utama bangunan pusat beli belah itu dan bukan pada sebuah bateri kereta berwatt rendah yang disediakan.

Amitabh Bachchan

Bintang Bollywood veteran Amitabh Bachchan mengimbau kenangan pahitnya apabila dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas cedera parah ketika terlibat dengan penggambaran filem klasik "Coolie" (1983). Insiden mencemaskan itu berlaku ketika Bachchan melakonkan babak pergaduhan bersama aktor Puneet Issar, di mana dia perlu melompat ke atas sebuah meja.

Namun akibat tersilap langkah, dia terjatuh dan bahagian abdomennya terkena bucu meja sehingga menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk. Pengarah Manmohan Desai akhirnya membuat keputusan untuk menukar skrip filem itu, di mana pada asalnya watak Bachchan akan mati pada penghujung filem, kerana ingin menjaga perasaan para peminat yang terkesan dengan insiden tersebut.

Sylvester Stallone

Babak perlawanan tinju antara bintang Hollywood Sylvester Stallone bersama aktor Dolph Lundgren dalam filem "Rocky 4" (1985) memang tidak dibuat-buat, termasuk di luar skrin. Buktinya, Stallone dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas dan sakit dada gara-gara meminta Lundgren menumbuknya dengan kuat di bahagian dada untuk satu babak. Difahamkan tumbukan Lundgren menyebabkan jantungnya terhentak pada tulang dada sehingga ia bengkak. Dia dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama lapan hari. Jika lambat menjalani rawatan, kemungkinan besar Stallone tidak dapat diselamatkan.

Jason Statham

Kemalangan tidak diingini yang berlaku di set penggambaran filem "The Expendables 3" (2014) menyebabkan industri Hollywood hampir kehilangan aktor Jason Statham apabila dia tenggelam ke dasar Laut Hitam (Black Sea). Ketika itu, trak tiga tan yang dipandu oleh Statham mengalami kerosakan pada brek, menyebabkan dia hilang kawalan dan trak itu terjunam ke dalam laut. Walau bagaimanapun, Jason berjaya keluar melalui tingkap dan berenang ke permukaan laut. Pengalaman sebagai penyelam profesional tidak sia-sia kerana ia telah menyelamatkan nyawanya.

Michael J. Fox

Semua orang tahu francais filem klasik "Back to the Future" berjaya mencipta fenomena di seluruh dunia, sekaligus melakar sejarah produksi Universal Pictures. Tetapi tahukah anda bahawa pelakon utamanya Michael J. Fox hampir terbunuh ketika memfilemkan "Back to the Future: Part III"? Singkap kembali babak di mana Fox digantung di sebuah menara jam.

Asalnya dia perlu berdiri di atas kotak dan hanya separuh badannya difilemkan. Walau bagaimanapun, bagi menampakkan babak itu lebih realistik, dia mengalihkan kotak tersebut. Dia kemudiannya dilihat bergelut dan tercekik, namun kru produksi menyangka ia adalah lakonan yang berjaya, sehinggalah Fox jatuh pengsan selama 30 saat.

Isla Fisher

Nampaknya magik tak mampu menyelamatkan nyawa seseorang! Aktres Isla Fisher mendedahkan dia hampir lemas ketika memfilemkan babak silap mata dalam filem thriller "Now You See Me" (2013). Fisher melakukan aksi lagak ngeri di dalam sebuah tanki air, di mana ia kemudiannya dipenuhi ikan piranha. Fisher yang diikat di dasar tangki itu perlu meloloskan diri, apabila rantai besi di tangan dan kakinya tersekat. Tiada siapa yang sedar akan pergelutannya kerana menyangka ia adalah lakonan. Setelah tiga minit bergelut, dia akhirnya berjaya meloloskan diri menggunakan suis 'quick-release' dan dibantu seorang pelakon aksi lagak ngeri yang berada di situ.

Ellen Burstyn

Penggemar filem seram pasti tahu atau telah menonton "The Exorcist" (1973), yang digelar filem paling mengerikan sepanjang masa. Pengalaman mengerikan bukan hanya dirasai para penonton sahaja, malah salah seorang pelakonnya, Ellen Burstyn. Dalam sebuah babak yang ditampilkan dalam filem, Burstyn telah ditarik dengan kuat oleh kabel sehingga dia jatuh terhentak ke lantai. Ia perlu dilakukan beberapa kali kerana pengarah William Friedkin tidak berpuas hati dengan hasilnya dan meminta kru menarik dengan lebih kuat.

Akibatnya, Burstyn mengalami kecederaan tulang belakang yang kekal hingga ke hari ini. Lebih teruk lagi, pengarah tidak mahu menghentikan penggambaran kerana ingin fokus terhadap babak itu, sehinggalah Burstyn naik berang dan akhirnya kru menghubungi ambulans. Jeritan kesakitan Burstyn yang penonton lihat dalam filem adalah benar dan bukan sekadar lakonan.

Kate Winslet

Siapa sahaja yang tidak tahu filem romantik yang kekal ikonik sehingga hari ini, "Titanic" (1997). Pengalaman menjayakan watak Rose adalah satu pengalaman mencabar buat aktres Kate Winslet. Selain menghidap influenza, patah tulang dan lebam pada badan, dia turut berkongsikan pengalaman paling pahit ketika terlibat dengan penggambaran. Ketika melakonkan watak di mana Jack dan Rose melarikan diri dari air deras yang memasuki kapal, jaket yang dipakainya tersekat, menyebabkan dia tenggelam dan terkapai-kapai untuk udara. Memandangkan air yang pengarah James Cameron gunakan terlampau sejuk, Winslet mengalami pneumonia selepas memfilemkan babak itu.

Diane Kruger

Sebagai pengarah, Quentin Tarantino sanggup melakukan apa sahaja demi menjayakan filem-filemnya, termasuklah filem perang Inglourious Basterds (2009). Menerusi satu babak, aktres Diane Kruger dicekik seseorang, tetapi Tarantino tidak berpuas hati dengan hasilnya. Sebagai ganti, Tarantino sendiri yang mencekik Kruger sehingga aktres itu benar-benar hilang nafas dan penonton boleh melihat tangan Tarantino dalam filem.

Seorang lagi pelakon iaitu Eli Roth juga hampir disambar api ketika menjalani penggambaran filem ini, di mana dia perlu menyelamatkan diri dari sebuah panggung teater yang terbakar. Nasibnya baik kerana terselamat dan Tarantino juga berjaya merakamkan babak itu.

Meryl Streep

Aktres versatil Meryl Streep juga berdepan pengalaman cemas ketika memfilemkan babak filem "The River Wild" (1994). Sesi penggambaran dilakukan di Sungai Kootenay, Montana, di mana ia adalah salah satu lokasi terkenal untuk sukan lasak 'water rafting' kerana air sungainya yang deras dan mempunyai jeram. Selepas 18 jam penggambaran, Streep sudah hilang tenaga tetapi pengarah Curtis Hanson meminta untuk melakukan semula babak di dalam perahunya.

Mulanya Streep menolak permintaan Hanson, namun selepas digesa, dia terpaksa melakukannya. Malangnya, dia tercampak keluar dari perahunya dan hampir lemas. Dia kemudiannya diselamatkan oleh aktor Kevin Bacon yang menariknya semula ke dalam perahu. Dengan nada sinis, dia berkata kepada Hanson, "Lain kali kalau saya cakap saya tak mampu lakukan sesuatu, saya rasa kita perlu mempercayainya, bukan?"

Cinema Online, 01 Ogos 2020

Waktu Tayangan