Makanan menjijikkan yang pelakon filem sanggup makan! | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Makanan menjijikkan yang pelakon filem sanggup makan!

Penulis: Nisa Irina

Pelakon-pelakon ini sanggup telan makanan yang tak sepatutnya dimakan!
Pelakon-pelakon ini sanggup telan makanan yang tak sepatutnya dimakan!

Babak makan dalam filem adalah salah satu babak yang selalu berlegar-legar dalam ingatan penonton. Lebih-lebih lagi jika makanan itu nampak terlalu sedap atau terlalu menjijikkan. Dengan kos pembikinan yang tinggi, pasti pihak produksi tidak mengambil mudah sesuatu perkara dalam karya mereka, termasuk bahagian makanan.

Memang tidak dapat dinafikan, kebanyakan produksi akan menghasilkan makanan palsu menggunakan bahan-bahan yang boleh dimakan, bagi memastikan ia nampak asli dan pada masa yang sama, tidak membahayakan kesihatan pelakon.

Namun, orang ramai perlu tahu yang sesetengah pengarah dan pelakon memang sanggup menolak tepi risiko dan akan buat apa sahaja untuk jayakan watak atau filem mereka. Hinggakan menelan makanan yang menjijikkan pun mereka tidak kisah! Nak tahu siapa dan apa mereka makan? Jom lihat senarai di bawah!

Leonardo DiCaprio – Hati bison mentah


Bintang Hollywood Leonardo DiCaprio sememangnya sentiasa memberi persembahan terbaik dalam filem-filem lakonannya. Demi menjayakan watak Hugh Glass dalam filem epik sejarah Barat, "The Revenant" (2015), DiCaprio mencabar kemampuannya dengan makan hati bison mentah. Sebenarnya pihak produksi telah pun menghasilkan agar-agar yang dibentuk seakan-akan organ haiwan itu, tetapi DiCaprio nekad untuk makan hati sebenar untuk hasil yang lebih asli.



Satu cabaran juga kepada pihak produksi kerana mereka perlu mencari hati bison sebenar dan meminta izin daripada ejen dan peguam kepada bintang terkenal itu. Reaksi DiCaprio? Boleh lihat sendiri raut wajahnya ketika makan organ itu dalam filem tersebut. Tidak sia-sia juga usaha DiCaprio kerana dia berjaya merangkul trofi Anugerah Akademi (Oscar) pertamanya kerana filem tersebut.

Liam Neeson – Daging serigala


Kalau Leonardo DiCaprio menikmati hati bison mentah, hidangan bintang Hollywood Liam Neeson pula lebih istimewa – daging serigala! Ya, anda tidak salah baca, Neeson bersama rakan-rakan pelakonnya dalam filem "The Grey" (2011), telah makan daging serigala seperti mana yang diminta oleh pengarah untuk menghayati wataknya. Mereka diberi pilihan sama ada mahu ia direbus atau dipanggang.



Walaupun pelakon-pelakon lain muntah dan mengalami sakit perut selepas makan daging haiwan itu, namun Neeson mengakui rasanya tidaklah seteruk mana. Jadi maknanya sedap ke? Namun semua ini berlaku di sebalik tabir, dan daging yang digunakan dalam filem itu diganti dengan daging kambing. Bukan itu sahaja, para aktivis haiwan juga telah memboikot "The Grey" selepas pengakuan Neeson tersebut.

Beyoncé – Master Cleanse


Selebriti popular Beyoncé Knowles terkenal sebagai 'vegetarian' selepas beberapa tahun mengamalkan diet khas. Penyanyi lagu "Single Ladies" ini pernah mencetuskan kontroversi kerana Master Cleanse, iaitu diet istimewa demi menjayakan filem "Dreamgirls" (2006). Jadi apa itu Master Cleanse? Ia sebenarnya adalah minuman campuran lemon, sirap maple dan lada cayenne. Memang tidak boleh bayang macam mana rasanya!



Beyoncé hanya mengamalkan diet ini tanpa makan sebarang makanan padat dan hasilnya berat badannya turun sebanyak 9kg dalam tempoh dua minggu! Walaupun diet Beyoncé ini ternyata berkesan, tetapi ia tidak bermakna anda perlu mencubanya! Risikonya tinggi dan mungkin akan mengganggu metabolisme tubuh badan serta fungsi jantung dan buah pinggang.

Jared Leto – Ais krim cair bersama kicap dan minyak zaitun


Penyanyi dan aktor Jared Leto terkenal dengan dedikasinya untuk menjayakan sesuatu watak atau filem. Bagi filem drama biopik "Chapter 27" (2007), Leto dikehendaki menambah berat badannya sebanyak 30kg untuk watak pembunuh John Lennon (The Beatles) iaitu Mark David Chapman. Untuk itu, dia sanggup menelan ais krim coklat Haagen Dazs yang telah dicairkan dalam ketuhar gelombang mikro, sebanyak yang mungkin.



Mungkin nampak macam kurang menjijikkan tetapi apa yang perlu anda tahu adalah ia juga telah dicampurkan dengan kicap manis dan minyak zaitun! Bayangkan sahaja dah terasa mual, apa lagi menelannya.

Choi Jin Hyuk – Ayam dan usus lembu mentah


Memandangkan senarai di atas memfokuskan selebriti Hollywood, di sini kami ingin sertakan bintang Korea Selatan, Choi Jin Hyuk. Menerusi drama "Zombie Detective", Jin Hyuk membawa watak zombi yang ingin menjadi manusia. Apa yang mengejutkan adalah Jin Hyuk sanggup makan ayam dan usus lembu mentah dalam salah satu episod drama itu! Gelinya! Tetapi tidak sia-sia juga Jin Hyuk makan semua benda yang menjijikkan itu, sebab lakonannya menjadi dan dia juga menerima pujian daripada penerbit, pengarah dan para peminat!

Choi Min Sik – Sotong kurita hidup

Cuba anda bayangkan sesungut sotong kurita yang masih hidup bergerak-gerak dalam mulut dan tekak anda. Mungkin bagi orang Jepun dan Korea, benda ini sudah biasa kerana ia adalah hidangan mereka. Jadi sebab itu bintang Korea Selatan, Choi Min Sik tidak kisah untuk memfilemkan babaknya sedang makan haiwan itu yang masih hidup dalam filem "Oldboy". Apa yang didedahkan oleh pengarah, bukan satu ya sotong kurita yang Min Sik makan, tetapi empat ekor!

Cinema Online, 17 Okt 2020

Waktu Tayangan