Siri OTT Malaysia wajib tonton! | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Siri OTT Malaysia wajib tonton!

Penulis: Nisa Irina

Drama manakah yang anda tak sabar untuk tonton?
Drama manakah yang anda tak sabar untuk tonton?

Dengan adanya teknologi yang semakin berkembang maju, orang sudah pun membiasakan diri untuk menonton filem mahupun drama bersiri menerusi platform digital. Lebih-lebih lagi dalam waktu pandemik yang tak dapat dijangka ini, ramai yang selesa menonton di rumah berbanding panggung wayang. Kita dapat lihat pelbagai platform penstriman video berbayar telah diperkenalkan kepada orang ramai, termasuk Netflix, Amazon Prime, HBO Asia, Viu dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, dengan adanya platform sebegini, pembikin filem diberi kebebasan untuk berkarya dengan lebih kreatif, tambahan pula karya mereka tak perlu ditapis oleh lembaga penapisan filem (LPF) untuk ditayangkan secara digital. Begitu juga dengan pembikin filem di Malaysia yang sudah berani keluar dari zon selesa dengan menampilkan karya-karya hebat, tak kira filem mahupun drama bersiri.

Jadi di sini kami ingin senaraikan siri drama 'original' Malaysia wajib tonton yang boleh anda 'binge-watch' dalam waktu terluang!

Folklore (HBO Asia)

"Folklore" merupakan siri antologi yang terdiri daripada enam kisah seram berdasarkan cerita-cerita rakyat dari enam negara Asia. Siri ini diterbitkan oleh pembikin filem dari Singapura, Eric Khoo. Jangan risau, kerana siri ini tiada 'jump scare' seperti mana-mana karya seram lain, kerana Eric mendapat inspirasi dari filem seram klasik "Rosemary's Baby".

Rata-rata penonton dari serata dunia telah memuji hasil karya yang unik ini! Senarai episod bagi musim pertama adalah seperti di bawah:

1. "A Mother's Love" – Indonesia: Diarahkan oleh Joko Anwar, episod ini mengisahkan seorang ibu tunggal dan anaknya, cuba menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak yang diculik oleh ibu angkat mereka iaitu roh jahat bernama Wewe Gombel.

2. "Tatami" – Jepun: Pengarah Takumi Saitoh memaparkan kisah seorang penulis kes pembunuhan yang merungkai rahsia gelap keluarganya selepas kematian bapanya.

3. "Nobody" – Singapura: Episod ini diarahkan oleh Eric Khoo, menceritakan nasib dua pekerja tapak pembinaan yang diganggu Pontianak, selepas mengebumikan mayat wanita yang mereka jumpai di tapak pembinaan tersebut.

4. "Pob" – Thailand: Pengarah Pen-Ek Ratanaruang tampil dengan kisah Pob, hantu Thailand yang ingin mendedahkan pembunuhan terhadap dirinya kepada seorang wartawan dan meminta ceritanya untuk diterbitkan.

5. "Toyol" – Malaysia: Terdesak dengan kemerosotan ekonomi bandarnya, seorang ahli Parlimen meminta bantuan dari seorang dukun. Semua masalahnya berjaya diselesaikan dan mereka akhirnya bercinta, namun hidup ahli Parlimen itu bakal hancur. Siri ini diarahkan oleh Ho Yuhang.

6. "Mongdal" – Korea Selatan: Diarahkan oleh Lee Sang-woo. Atas dasar kasih sayang terhadap anak lelakinya yang psiko, seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat anaknya bahagia, termasuk mencari pasangan anaknya di dunia selepas kematian.

The Bridge (Viu)

Syarikat media terbesar Malaysia, Media Prima Berhad telah menjalin usaha sama dengan perkhidmatan video-atas-permintaan, Viu bagi menerbitkan siri drama jenayah popular Skandinavia "The Bridge", dalam versi Asia. Menggabungkan tenaga dua pengarah hebat, Jason Chong dan TJ Lee, siri ini dibintangi oleh pelakon serta pemenang anugerah Malaysia, Bront Palarae dan Singapura, Rebecca Lim.

Seperti versi "The Bridge" yang lain, drama ini menampilkan jalan cerita yang lebih kurang sama, mengisahkan dua detektif, seorang dari Malaysia dan seorang lagi dari Singapura, ditugaskan untuk menyiasat kes mayat wanita yang terbelah dua, ditemui di sempadan antara dua negara tersebut. Jalan cerita yang padat suspens hingga penonton tak senang duduk ditambah dengan keserasian para pelakon membuatkan siri ini menjadi kegemaran ramai!

Sambutan terhadap musim pertama sangat memberansangkan telah membuatkan pihak penerbit kembali menerbitkan siri "The Bridge" musim kedua yang menampilkan jalan cerita yang lebih mantap selain kali ini membabitkan pelakon daripada empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.

The Ghost Bride (Netflix)

Budaya dan tradisi masyarakat Cina Peranakan di Melaka pada awal kurun ke-19 menjadi tema utama bagi siri seram 'supernatural' ini. Malah, ia juga mengangkat nama Malaysia di mata dunia. Diadaptasi dari novel terlaris nukilan penulis Malaysia, Yangsze Choo, yang sama judulnya, "The Ghost Bride" mengisahkan Li Lan yang diminta untuk berkahwin dengan hantu demi melangsaikan hutang keluarganya.

Projek berskala besar garapan dua pengarah hebat, Quek Shio Chuan dan Ho Yuhang, ini menampilkan gabungan pelakon Malaysia, Kuang Tian, Angeline Tan, Jordan Voon, Jojo Goh dan Susan Leong, serta pelakon Taiwan, Pei Jia, Wu Kang Ren dan pelakon China-Kanada, Ludi Lin. Selain Melaka, penggambaran drama ini turut berlangsung di bandar-bandar warisan serata Malaysia seperti Ipoh dan Taiping, Perak, Iskandar Puteri, Johor, dan George Town, Pulau Pinang.

BLACK (Viu)

Peminat Kdrama pasti tahu mengenai drama popular "BLACK" yang menampilkan pelakon utama Song Seung-heon dan Go Ara. Jika dalam drama asal watak utamanya adalah Grim Reaper, versi Malaysia pula digantikan dengan orang bunian. Bunian bernama Black ini merasuki tubuh seorang pegawai polis yang sudah mati untuk mencari rakannya di dunia manusia, dan akhirnya jatuh cinta kepada Sofia, gadis yang boleh meramal kematian dengan menyentuh bayang-bayang seseorang.

Lakonan hebat Kamal Adli, Siti Saleha, Nabila Huda, Namron dan Khir Rahman berjaya membuatkan jalan ceritanya lebih menarik. Walaupun ia berkonsepkan drama gelap, namun dengan adanya dialog-dialog lucu, pasti membuatkan anda tak kering gusi! Bahasa yang digunakan dalam drama arahan Razaisyam Rashid ini boleh dikatakan agak kasar tetapi tak melampau.

Jibril (Viu)

Ramai penonton yang berani berpendapat bahawa drama thriller "Jibril" bukanlah seperti drama-drama biasa, malah bertaraf antarabangsa! Asal cerita ini diadaptasi dari Mock Trial UiTM pada 2013 yang menerima sambutan luar biasa. Mengisahkan Jibril Azym, peguam pintar yang diberi tugas untuk menyelesaikan kes-kes pembunuhan berprofil tinggi yang akhirnya mendedahkan sebuah pertubuhan rahsia, Zerkala.

Drama arahan Megat Sharizal ini menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Aeril Zafrel, Lisa Surihani, Tony Eusoff dan Sangeeta Krishnasamy. Maka tak hairanlah ramai dalam kalangan penonton memuji lakonan semua pelakon yang benar-benar menghayati watak. Biarpun siri ini pernah disiarkan di sebuah saluran TV, namun jalan cerita yang ditampilkan di Viu agak berbeza tanpa sebarang suntingan.

Salon (Viu)

"Salon" adalah sebuah naskhah komedi gelap dan suspens, berkisarkan tentang seorang pemilik salon bernama Anna yang bertindak sebagai 'adiwira' dengan membunuh orang yang melakukan kejahatan. Semuanya gara-gara sejarah hitam ahli keluarganya dibunuh, hingga menyalakan api dalam dirinya yang nekad untuk membalas dendam terhadap si pembunuh.

Setiap episod yang penuh dengan adegan suspens pasti membuat penonton ternanti-nanti apa yang berlaku seterusnya. Mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah Anna seorang yang psiko? Nak tahu kenalah tonton! Drama yang menerima sentuhan 'ajaib' pengarah Khabir Bhatia ini dibintangi barisan pelakon berbakat seperti Julia Farhana, Iman Corinne, Josiah Hogan dan Idris Khan.

Cinema Online, 11 Okt 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.
Waktu Tayangan