6 Watak ikonik lakonan Maya Karin | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

6 Watak ikonik lakonan Maya Karin

Penulis: Nisa Irina

Watak manakah yang anda rasa Maya lakonkan paling menjadi?
Watak manakah yang anda rasa Maya lakonkan paling menjadi?

Maya Karin Roelcke merupakan salah seorang pelakon wanita paling terkenal di Malaysia yang berjaya mengukuhkan namanya bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di persada antarabangsa termasuk Hollywood! Sikapnya yang peramah dan profesional sewaktu bekerja membuatkan sesiapa sahaja berasa senang untuk bekerjasama dengannya.

Beri sahaja apa jenis watak, 'tomboy' ("Anak Halal"), perempuan mata duitan ("Pisau Cukur") mahupun ustazah ("Ombak Rindu"), pasti pelakon kacukan Melayu-Jerman ini akan berusaha untuk membawanya dengan baik.

Ianya dibuktikan oleh pencapaian dan pengiktirafan Maya di peringkat nasional sehingga ke peringkat antarabangsa seperti Festival Filem Fantasi dan Keganasan Espano (Sepanyol), Festival Filem Asia Pasifik ke-49 (Jepun) dan yang terbaru, di Festival Filem & TV Ramsgate (United Kingdom) bagi filem "Olympic Dream" (2019).

Kepada yang tidak tahu, ketika mula-mula menceburi bidang lakonan, Maya pernah dilabel sebagai pelakon kayu hanya kerana dia tidak fasih berbahasa Melayu. Namun begitu, bakat lakonannya terserlah selepas membintangi siri filem seram kegemaran ramai sepanjang zaman iaitu "Pontianak Harum Sundal Malam". Oleh itu, kami akan singkap semula watak-watak ikonik dalam filem yang pernah dibintangi Maya Karin.

Meriam

Watak yang sememangnya sinonim dengan Maya iaitu Meriam atau Maria dalam filem seram terkenal "Pontianak Harum Sundal Malam" (2004) arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba. Sebut sahaja namanya, pasti orang ramai akan terbayang watak pontianak cantik yang menangis air mata darah dengan suara mendayu-dayu hingga meremang bulu roma! Malah, pernah ada penonton yang berkongsi pengalaman sepupunya dirasuk selepas menonton lakonan Maya.

Memang tidak boleh nak bayangkan pelakon lain selain Maya untuk berlakon filem ini. Tambahan lagi, beberapa tahun selepas "Pontianak Harum Sundal Malam 2" (2005) ditayangkan, masih ramai yang menanti-nantikan filem ketiganya untuk diterbitkan. Dengar cerita, Ghaz Abu Bakar teringin untuk mengarah filem ketiga dengan jalan cerita yang lebih seram. Jika ia direalisasikan, pasti filemnya akan meraih kutipan pecah panggung!

Puteri

Selain menjadi pontianak, Maya juga terkenal dengan wataknya sebagai Puteri, seekor ikan duyung menerusi filem fantasi "Duyung" (2008) arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Buat makluman lanjut, filem ini merupakan filem Malaysia pertama yang menjalankan penggambaran di dasar laut di Pulau Sipadan, Sabah. Menariknya, Maya berjaya melakonkan sendiri watak Puteri tanpa memerlukan sebarang bantuan teknik gandaan 'stunt'.

Bukan mudah untuk berenang dengan kedua-dua kaki yang diikat! Pengalaman mengikuti kelas renang sewaktu berusia seawal tujuh tahun dipraktikkan sepenuhnya sepanjang penggambaran berlangsung. Walau bagaimanapun, Maya berdepan detik cemas yang hampir meragut nyawanya ketika menghayati satu babak di dalam air apabila rambutnya tersangkut, menyebabkan dia terpaksa bergelut untuk menyelamatkan diri.

Luna Latisya

Dipilih untuk bergandingan dengan hero Malaya Remy Ishak dalam filem "Cun!" (2011) arahan Osman Ali, disifatkan sebagai sesuatu yang mudah bagi Maya memandangkan mereka sudah pun mempunyai keserasian setelah beberapa kali digandingkan bersama. Malah ada dalam kalangan peminat yang menyangka kedua-dua pelakon itu sedang bercinta! Walau bagaimanapun, Maya menjelaskan hubungan mereka tidak lebih daripada rakan artis.

Antara pengalaman menarik melakonkan watak Luna, seorang pengacara TV terkenal yang berpindah ke desa selepas putus cinta, adalah Maya berpeluang untuk menikmati suasana kampung seperti bermain lumpur di sawah padi dan menunggang kerbau.

Katerina

Sebenarnya Maya telah pun ditawarkan untuk membintangi filem adaptasi novel, "Lagenda Budak Setan" (2010) arahan Sharad Sharan, tetapi jadual kerjanya yang padat tidak mengizinkan dan akhirnya watak Katerina diberikan kepada Fazura. Selepas itu, Maya membuat kemunculan sebagai Katerina dalam filem "Lagenda Budak Setan 2: Katerina" (2012) dan "Lagenda Budak Setan 3: Kasyah" (2014).

Menurut Maya, watak Katerina banyak bermain dengan emosi kerana siri filem itu padat dengan babak sentimental dan konflik yang memerlukannya untuk menangis. Walau bagaimanapun, Maya memberitahu Katerina sangat dekat dengan dirinya dan watak ini banyak memaparkan perjalanan hidupnya sendiri dari peringkat remaja sehingga dewasa serta pendirian yang semakin matang.

Jwanita

Filem kedua arahan Osman Ali selepas "Puaka Tebing Biru", di mana watak Jwanita ditulis khas buat Maya. Jalan cerita menarik ditambah dengan lakonan hebat Maya merupakan faktor utama filem ini berjaya menambat hati ramai untuk panggung wayang selepas ia ditayangkan. Jolokan 'Ratu Filem Seram' sememangnya sesuai diberikan kepada Maya.

Buktinya, pengarah sendiri dan pelakon gandingan Maya iaitu Bront Palarae mengakui tidak berani mendekati Maya ketika berada di set pengembaraan gara-gara dia terlalu menjiwai watak Jwanita. Jwanita merupakan seorang wanita yang mengalami masalah mental akibat pernah didera secara mental dan fizikal. Masalah mental itu juga adalah punca Jwanita mula mengamalkan ilmu hitam seperti ibu bapa angkatnya.

Tony

Maya menjayakan watak seorang pembunuh upahan bernama Tony dalam filem aksi arahan Ghaz Abu Bakar, "Bulan dan Pria Terhebat" (2020). Bagi yang sempat menonton filem ini sebelum penutupan panggung wayang akibat COVID-19 pada Mac lalu, anda pasti berasa kagum melihat Maya melakonkan aksi lagak ngeri menunggang motosikal berkuasa tinggi dan berlawan dengan Zahirah Macwilson di atas bumbung bas!

Kata Maya, kesemua aksi lagak ngeri dalam filem ini dilakukan tanpa bantuan teknik gandaan 'stunt' bagi mencabar kemampuan dirinya. Luar biasa betul pelakon kesayangan ramai ini. Difahamkan filem ini akan ditayangkan semula di pawagam, jadi jangan terlepas!

Bagi semua peminat yang rindukan lakonan Maya di layar perak, jangan bimbang, kerana idola anda bakal kembali menghiburkan anda dengan filem-filem terbarunya iaitu "Kingdom" arahan Aviv dan "Abang Long Fadil 3" arahan Syafiq Yusof.

Cinema Online, 09 Ogos 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan