Jom kenali platform OTT tempatan terbaru MyWayang | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Jom kenali platform OTT tempatan terbaru MyWayang

Penulis: Ashraf Nasser

 Platform OTT tempatan kini 'seperti cendawan tumbuh selepas hujan'.
Platform OTT tempatan kini 'seperti cendawan tumbuh selepas hujan'.

Mungkin ada sudah mengetahui mengenai platform penstriman video (OTT) tempatan eWayang yang dilancarkan pada penghujung tahun 2020, namun kini muncul sebuah lagi platform OTT tempatan iaitu MyWayang.

Walaupun nama kedua-dua platform OTT itu hampir sama, namun kedua-duanya menampilkan kandungan yang sedikit berbeza yang mana MyWayang bukan sahaja menayangkan filem tempatan, tetapi juga filem dari luar negara.

Jadi untuk artikel kali ini Cinema Online ingin membawa pembaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang ditawarkan oleh MyWayang yang mula beroperasi sejak 18 Disember 2020 yang lalu.

MyWayang ditubuhkan oleh penggiat seni berpengalaman


Idea untuk menubuhkan platform MyWayang ini dicetuskan oleh penerbit, pengedar dan pelabur filem terkenal tanah air iaitu Sheunik Films Group. Dengan pengalaman yang cukup meluas dalam dunia kandungan kreatif, filem dan rancangan televisyen serta rangkaian di rantau Asia, maka terhasilkan MyWayang.

Menawarkan pelbagai filem menarik dari Malaysia & Indonesia


Jika beberapa platform OTT tempatan lain lebih memberi fokus menayangkan filem tempatan sahaja, MyWayang pula berbeza sedikit apabila ketika ini mereka menawarkan pelbagai filem dan genre dari Malaysia dan juga Indonesia. Lebih menarik lagi, pengguna/penonton tak perlu membayar untuk setiap filem yang ingin ditonton sebaliknya hanya perlu membayar sebanyak RM15 sahaja untuk setahun untuk enam bulan pertama sebelum bayaran asal akan dikenakan iaitu RM50 setahun atau RM5 setiap bulan. Berbaloi bukan!

Pihak MyWayang berkata untuk tahun pertama mereka akan terus memasukkan banyak lagi kandungan dalam MyWayang bagi memberi lebih banyak pilihan buat pelanggan/penonton sekaligus dapat menepati cita rasa setiap orang.

Akan terus melebarkan sayap dari semasa ke semasa


Jika ketika ini MyWayang menawarkan filem terbaik dari Malaysia dan Indonesia, namun mereka tidak akan berhenti setakat itu sahaja kerana mereka mempunyai perancangan besar untuk terus melebarkan sayap dengan menawarkan pelbagai filem antarabangsa yang akan menjadi 'one stop centre' untuk pencinta filem menonton filem-filem terbaik hanya di MyWayang.

Terus menambah filem-filem terbaru


Menariknya MyWayang adalah mereka akan sentiasa menambah judul-judul terbaru sekiranya mendapat akses kepada filem terbaru. Mereka juga yakin dengan MyWayang mampu memberi kepuasan kepada pengguna kerana jika sebelum ini mereka perlu membayar RM15 untuk menonton sebuah filem di pawagam, mereka kini boleh menonton filem tanpa had dengan harga yang sama.

Dengan situasi dunia ketika ini masih belum pulih dari pandemik COVID-19, ia telah membuka peluang kepada platform OTT untuk terus berkembang dengan pesat yang mana akan menyaksikan persaingan sihat akan berlaku di antara penyedia platform OTT yang pastinya akan berlumba-lumba menawarkan pelbagai tawaran menarik.

Menerusi persaingan antara penyedia platform OTT ini, pihak yang paling untung adalah pengguna kerana mereka kini mempunyai banyak pilihan untuk dipilih bagi menepati cita rasa mereka.

Cinema Online, 11 Jan 2021

Waktu Tayangan