Sumpahan dan badi di Hollywood - Bahagian 2 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Sumpahan dan badi di Hollywood - Bahagian 2

Penulis: Ashraf Nasser

Jika anda rasa bahagian pertama 'seram', anda perlu baca bahagian kedua ini!
Jika anda rasa bahagian pertama 'seram', anda perlu baca bahagian kedua ini!

Jika anda sudah membaca artikel bahagian pertama iaitu Sumpahan dan badi di Hollywood – Bahagian 1, kali ini Cinema Online kembali dengan bahagian kedua yang menceritakan mengenai sumpahan atau badi yang membabitkan dunia Hollywood sejak puluhan tahun lalu yang terus menjadi misteri dan persoalan ramai.

Bagi yang belum membaca artikel bahagian pertama, jangan risau kerana anda boleh membaca bahagian kedua dahulu sebelum membaca bahagian pertama menerusi pautan yang disertakan di atas.

Jadi, tanpa melengahkan masa lagi, jom baca bahagian kedua!

Sumpahan Penghias Majalah Playboy

Lelaki di seluruh dunia pasti tahu akan majalah dewasa paling popular di dunia iaitu majalah Playboy, tetapi tahukah anda bahawa terdapat sumpahan bagi wanita yang pernah terlibat dengan majalah itu? Penghias pertama muka depan majalah ikonik sensasi "Playboy", mendiang Marilyn Monroe meninggal dunia disebabkan keracunan pengambilan ubat tidur & wain yang juga dipercayai sebagai cubaan membunuh diri.

Pada usia 36 tahun pula, penghias muka depan 1955, Jayne Mansfield yang dikatakan rapat dengan pemimpin 'Church of Satan', Anton LaVey, maut dalam keadaan ngeri apabila kepalanya hampir putus dalam nahas jalan raya pada 1967. Pada tahun 1980, Dorothy Stratten, dibunuh oleh suaminya selepas muncul sebagai penghias majalah milik Hugh Hefner itu pada tahun 1979. Anna Nicole Smith, menjadi mangsa sumpahan "Playboy" terbaru apabila dia yang pernah menghiasi majalah itu pada tahun 1992 meninggal dunia akibat penggunaan dadah berlebihan pada usia 39 tahun. Seramai 25 orang penghias Playboy telah terbunuh dan kebanyakan daripadanya meninggal dunia dalam keadaan misteri.

Sumpahan Led Zeppelin

Pemain gitar utama band ini, Jimmy Page memiliki keobsesian pelik dan misteri ke atas ketua ajaran syaitan, Aleister Crowley. Bukti obsesi Jimmy dapat dilihat apabila gitaris tersebut sanggup membeli rumah Crowley dan memakai mantel Crowley yang meninggal dunia pada tahun 1947. Obsesi pelik Page itu barangkali turut mengundang padah buatnya. Beberapa teori dan andaian menakutkan menyelubungi Page dan Led Zeppelin apabila ada yang mengatakan sekiranya lagu hits mereka, "Stairway To Heaven" dimainkan secara terbalik, maka akan kedengaran perkataan 'My Sweet Satan'.

Sumpahan tersebut mula meminta 'korbannya' apabila pada tahun 1977, jari gitaris John Paul Jones patah dan anak lelaki vokalis, Robert Plant yang berusia lima tahun meninggal dunia akibat jangkitan virus dalam perut. Pada tahun 1980 pula, pemain dram John Bonham mati lemas akibat tertelan muntahnya sendiri di kediaman Page selepas meminum 450 mililiter vodka sebagai sarapan pagi. Beberapa bulan kemudian, band tersebut secara rasmi mengumumkan perpecahan Led Zeppelin dan ya, Jimmy Page masih hidup sehingga kini.

Sumpahan Kereta James Dean

Pada 30 September 1955, James Dean dan seorang mekanik, Rolf Wutherich menyertai satu kejohanan lumba kereta di Salina, California. Dean yang memandu kereta Porshe 550 Spyder barunya telah bertembung dengan dengan sebuah kereta dari arah bertentangan, dipandu oleh seorang lelaki berusia 23 tahun yang melanggar kereta Dean ketika cuba memotong jalan. Lelaki tersebut terselamat dengan hanya mengalami beberapa kecederaan ringan namun Dean disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berdekatan.

Wutherich pula maut dalam kemalangan jalan raya pada tahun 1981 di Jerman selepas terselamat dalam beberapa siri cubaan bunuh diri. Selepas kematian aktor popular tersebut, seorang penggemar kereta tersohor, George Barris membeli bangkai kereta tersebut. Namun tidak berapa lama selepas itu berlaku sebuah insiden di mana kereta tersebut tergelincir dari treler dan menyebabkan kaki seorang mekanik patah. Barris kemudiannya menjual dua buah tayar namun kedua-dua tayar itu kerap pancit dan menyebabkan kereta si pembeli terbabas di jalan raya.

Nasib seorang lelaki bertukar malang dengan tangan cedera teruk (hampir putus) kerana cuba mencuri stering kereta puaka tersebut. Cubaan mencuri bahagian kereta milik Dean oleh individu-individu yang merasa dapat mengaut untung besar daripada kereta tersebut terus berlaku. Tidak lama selepas insiden pertama, seorang lelaki pula cedera parah ketika cuba mencuri kerusi tempat duduk pemandu.

Selepas beberapa siri pameran bangkai kereta tersebut untuk kempen keselamatan jalan raya, garaj yang menempatkan kereta Spyder itu ranap terbakar memusnahkan hampir seluruh garaj tersebut kecuali kereta puaka tersebut yang terselamat tanpa sebarang kerosakan. Pameran kali kedua berlangsung diadakan di sekolah tinggi dan berakhir dengan insiden di mana kereta tersebut terjatuh dan mematahkan pinggang seorang pelajar. Semasa dalam perjalanan untuk dipindahkan, trak yang membawa kereta tersebut tanpa disangka hilang kawalan menyebabkan pemandu tersebut terjatuh dan dihempap kereta Dean. Pada tahun 1960, kereta tersebut hilang tanpa jejak sewaktu ianya cuba dipulangkan semula kepada Barris di Los Angeles dan terus lesap, tidak pernah dilihat oleh sesiapapun sehinggalah ke hari ini.

Sumpahan "The Exorcist"

Bagi peminat filem seram sudah pasti filem "The Exorcist" adalah filem wajib tonton. Tetapi tahukah anda selepas penggambaran filem yang adaptasi kisah benar yang terjadi pada tahun 1940 ini dilakukan, beberapa perkara ganjil mula berlaku. Set filem terbakar, salah seorang tukang kayu cedera terpotong ibu jari ketika sedang bertugas di set penggambaran tersebut, bayi kepada salah seorang jurukamera meninggal dunia, seorang tukang jaga di set filem itu meninggal dunia, seorang aktor yang melakonkan watak lelaki terbunuh dalam filem itu, ironinya turut meninggal dunia tidak lama selepas penggambaran.

Manakala tulang belakang aktres Linda Blair pula retak dalam satu kemalangan. Dalam semua variasi insiden yang berlaku, secara keseluruhan sembilan orang yang terlibat dalam filem ini mati. Pihak gereja mengesyaki ianya angkara syaitan lalu, krew filem tersebut cuba mengusir kuasa jahat yang ada di set itu menggunakan 'holy water' tetapi tidak berkesan. Insiden seram yang menyelubungi tidak menghalang sekuel filem itu dihasilkan. Meskipun sekuel filem itu tidak mengalami sebarang insiden misteri dan kerosakan, filem ketiga bagaimanapun kembali menghantui apabila seorang pembunuh bersiri dikenali sebagai Jeffrey Dahmer menjadi obses dengan filem tersebut hingga mempengaruhinya membunuh 17 orang lelaki!

Sumpahan "The Poltergeist"

Jangan sekali-kali bermain dengan orang mati! Itulah satu benda yang pasti dan perlu disematkan dalam otak sampai mati. Alkisahnya, sumpahan puaka menyelubungi francais filem seram ini disebabkan oleh produser filemnya yang 'bermain' dengan roh iaitu menggunakan rangka tulang orang mati sebenar sebagai prop. Selepas sebulan produksi filem dijalankan, salah seorang pelakon wanita, Joe Beth Williams medapati foto-foto yang tergantung di dinding rumahnya akan senget atau berselerak setiap kali dia pulang ke rumah selepas penggambaran.

Lampu tiba-tiba menyala dan padam, kebakaran dan kemalangan misteri juga berulang kali berlaku. Selepas siri pertama filem itu ditayangkan, sumpahan itu mula mengganas dan meragut nyawa pertama. Aktres muda, Dominick Dunne terbunuh akibat dijerut sampai mati oleh bekas teman lelakinya pada usia 22 tahun. Sekuel filem tersebut pula telah meragut nyawa Will Sampson dan Julian Beck yang masing-masing mati disebabkan kanser perut dan kegagalan fungsi buah pinggang. Heather O'Rouke, yang melakonkan watak Carol Anne dalam ketiga-tiga siri filem "The Poltergeist" meninggal dunia semasa pembikinan filem ketiga dijalankan akibat kerosakan saluran penghadaman. Filem ketiga "The Poltergeist" sukses dan trilogi filem tersebut tamat bersama beberapa individu yang menjadi 'kambing hitam' untuk filem tersebut.

Sumpahan "The Dark Knight"

Beberapa siri misteri menyelubungi francais filem "Batman" ini adalah antara koleksi sumpahan terbaru Hollywood di abad ke-21. Mula-mula seorang pelakon lagak ngeri terbunuh ketika memandu uji salah sebuah kereta yang digunakan dalam filem tersebut. Kemudian (sebelum filem itu ditayangkan), aktor berbakat besar yang memegang watak Joker, Heath Ledger dikatakan terlalu obses menjiwai karekter antagonis tersebut sehingga dia mengalami kemurungan dan insomnia ditemui mati di kediamannya selepas mengambil preskripsi ubat tidur secara berlebihan.

Selepas filem itu ditayangkan, aktor yang melakonkan watak Batman, Christian Bale disoal-siasat oleh polis selepas dipercayai mencederakan ibu dan adik-beradiknya. Tiga minggu kemudian, kereta milik Morgan Freeman terbabas teruk di sebuah lebuhraya, mujur tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Cinema Online, 03 Jan 2021

Waktu Tayangan