Afdlin Shauki tawarkan kursus pengarahan secara percuma | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Afdlin Shauki tawarkan kursus pengarahan secara percuma

Penulis: Nisa Irina

Afdlin Shauki akan kongsi pengalaman mengarah kepada para peserta kursusnya.
Afdlin Shauki akan kongsi pengalaman mengarah kepada para peserta kursusnya.

4 Ogos – Demi melahirkan bakat-bakat baru dalam industri filem dan televisyen tanah air, pelakon, penerbit dan pengarah Dato' Afdlin Shauki mengadakan kursus pengarahan yang ditawarkan secara percuma.

Seperti yang dikongsikan menerusi laman Instagram miliknya, kursus The Masterclass Series 01 yang akan berlangsung selama lima hari itu dibuka terhad kepada 80 orang peserta sahaja.

"Siapa berminat untuk sertai kursus pengarahan saya yang percuma!! Sila beri butiran anda kepada nombor yang tertera. Kursus ini terhad kepada 80 orang sahaja dan berjalan selama lima hari.

"Kita akan belajar cara-cara untuk bercerita menggunakan visual. Tempat adalah sangat terhad. Yang serius nak belajar sahaja ya! Sekali lagi kursus adalah percuma! Siapa cepat dia dapat ilmu!" tulisnya.

Menerusi kursus berkenaan, para peserta akan didedahkan dengan pengalaman, perjalanan serta kebolehan pelakon filem "Papadom 2" itu dalam bidang pengarahan yang bermula sejak 2004.

Selain itu, para peserta juga akan mempelajari kerja-kerja belakang tabir seperti penulisan skrip, cara penceritaan, pengambilan bakat, pencahayaan dan 'framing'.

Buat makluman lanjut, sehingga kini Afdlin mempunyai lebih sepuluh buah filem arahannya yang terdiri daripada pelbagai genre, termasuk "Sumolah", "My Spy", "Misteri Jalan Lama" dan "Pontianak vs Orang Minyak".

Afdlin yang kali terakhir dilihat berlakon dalam filem aksi komedi "Bikers Kental 2", akan kembali dengan sekuel filem "Baik Punya Cilok" yang kini berada dalam proses pos produksi.

(Sumber foto: Afdlin Shauki Instagram)

Cinema Online, 04 Ogos 2020

Filem Berkaitan:
Bikers Kental 2 (Malay / Thai) (14 Mar 2019)
Kami Histeria (Malay) (06 Feb 2014)
Papadom 2 (Malay) (12 Dec 2013)


Waktu Tayangan