Ayu Puteh mahu lanun cetak rompak dikenakan tindakan keras | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Ayu Puteh mahu lanun cetak rompak dikenakan tindakan keras

Penulis: Ashraf Nasser

Ayu Puteh tak peduli dengan apa yang orang hendak kata, sebaliknya mahu tegakkan keadilan.
Ayu Puteh tak peduli dengan apa yang orang hendak kata, sebaliknya mahu tegakkan keadilan.

6 Ogos – Penerbit filem popular Datuk Ayu Puteh mahu tindakan keras dikenakan terhadap lanun cetak rompak selepas filem terbaru terbitannya berjudul "Ada Apa Dengan Dosa" (AADD) telah menjadi mangsa cetak rompak apabila dijual secara haram di platform digital e-dagang terkenal.

Susulan itu, Ayu telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara pada 3 Julai lalu dan kes itu disiasat oleh ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Saya serius mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap isu cetak rompak ini, apatah lagi ia membabitkan produk syarikat saya. Sebagai penerbit dan pemilik 'halal', saya harus bertindak. "Tak kisahlah apa orang nak anggap mengenai tindakan saya, walaupun ada yang kata sia-sia tetapi demi hak cipta produk saya, ia wajar dipertahankan.

"Sekarang, saya dah tak peduli dengan apa orang nak cakap kerana yang kena cetak rompak itu adalah produk milik saya dan bukan mereka. Malah, saya bertindak mengikut prosedur yang betul," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Selain AADD, filem "Keluarga Iskandar The Movie" dan "Town Mall" turut menjadi mangsa cetak rompak di platform e-dagang dengan harga serendah RM1.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memandang serius berhubung isu cetak rompak digital dan sudah pun memberi tempoh kepada platform e-dagang itu tampil memberi penjelasan atau tindakan mahkamah akan diambil.

Tambahnya lagi, bukan penerbit filem sahaja berhak untuk menyaman, malah pihak FINAS turut boleh mengenakan tindakan undang-undang sekiranya platform e-dagang itu melanggar Akta Hakcipta 1987 dan mencabuli hak harta intelek.

(Sumber foto: Ayu Puteh Instagram)

Cinema Online, 06 Ogos 2020

Filem Berkaitan:
Ada Apa Dengan Dosa (Malay) (10 Sep 2020) [Showtimes] [Trailers]
Keluarga Iskandar The Movie (Malay) (Undated)
Town Mall (Malay) (01 Oct 2020) [Showtimes] [Trailers]


Waktu Tayangan