Chacha Maembong lapor polis selepas difitnah terbabit dengan 'Macau Scam' | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Chacha Maembong lapor polis selepas difitnah terbabit dengan 'Macau Scam'

Penulis: Nisa Irina

Chacha Maembong buat laporan polis atas nasihat peguam.
Chacha Maembong buat laporan polis atas nasihat peguam.

23 Okt – Enggan berdiam diri ekoran dilemparkan pelbagai fitnah apabila namanya dikaitkan dalam sindiket pelacuran kelas atasan dan aktiviti penggubahan wang haram 'Macau Scam', pelakon Chacha Maembong membuat laporan polis di Balai Polis Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut adik kepada pelakon Emma Maembong itu, tindakannya membuat laporan polis adalah berdasarkan perbincangan dan nasihat peguam yang mewakilinya dalam kes tersebut.

Tambah Chacha, atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail, dia juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan pihak polis jika dipanggil untuk soal siasat.

"Pada 20/10/2020, saya telah membuat satu laporan polis di atas nasihat peguam saya. Tujuan laporan ini adalah bertujuan untuk memberhentikan dan menafikan segala fitnah yang berleluasa tentang diri saya berkenaan isu 'Macau Scam' dan juga tuduhan aktiviti pelacuran.

"Saya juga akan bekerjasama dengan pihak SPRM dan pihak POLIS jika dipanggil untuk memberikan kerjasama dan akan mengambil tindakan kepada individu yang telah memfitnah dan menyebarkan tuduhan tersebut.

"Tindakan susulan dari pihak guaman akan dijalankan, laporan kes ini kini di dalam siasatan, saya tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga siasatan dari pihak polis selesai," tulisnya dalam satu perkongsian yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Sehubungan dengan itu, rata-rata orang ramai menyokong tindakan Chacha serta mengecam pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap pelakon tersebut.

Baru-baru ini, Chacha yang mengakui reputasi dan perniagaannya terjejas, mengeluarkan satu kenyataan di laman Instagram miliknya bagi menafikan dakwaan bahawa dia terbabit dengan aktiviti haram itu.

(Sumber foto: Chacha Maembong Instagram)

Cinema Online, 23 Okt 2020

Filem Berkaitan:
Anak Perjanjian Syaitan (Melayu) (24 Okt 2019)


Waktu Tayangan