Da'i Syed direman lima hari atas tuduhan rogol | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Da'i Syed direman lima hari atas tuduhan rogol

Penulis: Nisa Irina

Da'i Syed didakwa atas tuduhan rogol seorang gadis yang dikenalinya di laman sosial.
Da'i Syed didakwa atas tuduhan rogol seorang gadis yang dikenalinya di laman sosial.

27 Nov – Pendakwah bebas dan penyanyi Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, atau lebih dikenali sebagai Da'i Syed, telah direman selama lima hari bagi membantu siasatan atas tuduhan rogol seorang gadis di Shah Alam pada tahun lalu.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang pengguna Twitter mendedahkan bahawa salah seorang kenalannya dan beberapa gadis lain turut menjadi mangsa kepada pendakwah selebriti tersebut.

Menurut laporan dari Utusan Online, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa telah keluar bersama suspek yang dikenali menerusi media sosial pada September tahun lalu.

Difahamkan mangsa ingin berbincang mengenai masalah kemurungan yang dihadapinya dengan kaedah perubatan Islam sebelum dibawa di kediaman suspek dengan menaiki keretanya.

"Suspek telah membawa mangsa makan di sebuah kedai di kawasan Batu 3. Selepas itu, suspek membawa mangsa ke rumahnya di sebuah studio di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penerangan berhubung bagaimana hendak pulih daripada penyakit kemurungan.

"Semasa di rumah suspek, mangsa telah dirogol dan tidak terdaya hendak melawan. Malah, mangsa juga tidak tahu cara keluar dari tempat tersebut," katanya.

Tangkapan telah dibuat pada Khamis malam susulan pihak polis menerima laporan daripada mangsa pada Rabu. Mangsa turut mendakwa mengalami kemurungan dan terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Da'i Syed telah membuat laporan polis susulan dakwaan tersebut dan menyatakan ia fitnah paling buruk yang pernah dia hadapi sehingga menjatuhkan maruah dan reputasinya.

Malah, bekas peserta program Da'i Pendakwah Nusantara itu turut memuat naik kenyataan sendiri menerusi laman Instagram miliknya untuk menjelaskan tentang kes tersebut.

(Sumber foto: Da'i Syed Instagram)

Cinema Online, 27 Nov 2020

Waktu Tayangan