FINAS bela nasib artis veteran tiada 'job' | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

FINAS bela nasib artis veteran tiada 'job'

Penulis: Ashraf Nasser

Pengerusi FINAS, Zakaria Abd Hamid bersama CEO FINAS, Ahmad Idham ketika dalam program sumbangan barangan keperluan rumah PPR Komuniti Seni.
Pengerusi FINAS, Zakaria Abd Hamid bersama CEO FINAS, Ahmad Idham ketika dalam
program sumbangan barangan keperluan rumah PPR Komuniti Seni.

11 Sep – Masalah artis-artis veteran yang sukar mendapat tawaran berlakon akhirnya bakal terbela juga apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mahu menjadikan syarat menawarkan watak kepada artis veteran sebagai kriteria yang perlu dipenuhi penerbit sekiranya mahu mohon geran atau dana kandungan kreatif.

"Antara keluhan yang sering didengari adalah artis veteran tidak diberi peluang berlakon setiap kali FINAS bertemu mereka. Walaupun keadaan fizikal mereka mungkin tidak sekuat dahulu, namun artis lama masih mampu berlakon.

"Saya harap penerbit dapat memberi kerjasama dengan menawarkan peluang kepada pelakon veteran beraksi dalam produksi. Jika mereka masih berkeras, kami akan memanggil mereka untuk berbincang.

"Jika penerbit atau produksi yang masih tidak mahu tawarkan watak kepada pelakon veteran, mungkin kita boleh jadikan permintaan ini sebagai syarat khusus kepada penerbit yang mendapat dana daripada FINAS," ujar Pengerusi FINAS iaitu Zakaria Abd Hamid yang dipetik dari BH Online.

Zakaria bagaimanapun bersikap positif dan yakin penerbit akan memberi kerjasama untuk menyokong usaha murni FINAS dalam membantu artis veteran.

Dalam pada itu, Zakaria berkata bukan semua artis veteran yang terdesak untuk berlakon kerana wang, sebaliknya ada antara mereka mahu beraksi di hadapan kamera kerana rindu ke set penggambaran selain dunia lakonan sudah sebati dengan jiwa mereka.

Malah ada yang sanggup tidak terima bayaran, asalkan mereka diberi peluang untuk berlakon.

Diharap penerbit-penerbit tempatan dapat bersama FINAS untuk melonjakkan lagi industri seni tanah air.

(Sumber foto: FINAS Facebook)

Cinema Online, 11 Sept 2020

Waktu Tayangan