CEO FINAS nafi pengguna media sosial perlu lesen terbit filem | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

CEO FINAS nafi pengguna media sosial perlu lesen terbit filem

Penulis: Nisa Irina

Ahmad Idham umum FINAS sedang berusaha memajukan industri kreatif.
Ahmad Idham umum FINAS sedang berusaha memajukan industri kreatif.

25 Jul – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Ahmad Idham Ahmad Nadzri menjelaskan bahawa tiada arahan pengguna media sosial wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) seperti yang tular baru-baru ini.

Menurut Ahmad Idham, dia percaya bahawa ada segelintir pihak cuba memutarbelitkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Dato' Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat sehingga menimbulkan salah faham orang ramai.

"Saya amat kesal dengan sikap tak profesional dan bertanggungjawab sesetengah pengamal media dan individu berkepentingan politik yang telah memutarbelitkan kenyataan YB Menteri KKMM baru baru ini.

"FINAS kini sentiasa bergerak positif di dalam usaha kami memajukan industri kreatif dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk anak muda berkarya.

"Kalau niat kami menyekat, takkanlah kami memberi Dana Mikro dan latihan Program YouTuber oleh Finas demi melahirkan lebih ramai pengkarya muda," tulis Ahmad Idham di laman sosial Instagram miliknya.

Berita yang tular itu bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah mencetuskan kemarahan pengguna media sosial, termasuk selebriti tanah air seperti Dato' Afdlin Shauki, Sharifah Amani, Shila Amzah dan ramai lagi.

Sehubungan dengan itu, Dato' Saifuddin turut mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kerajaan tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta FINAS untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial serta keperluan untuk menambahbaikkan Akta tersebut.

"Seperti yang saya umumkan pada 20 Jun 2020, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah memulakan usaha untuk meminda akta-akta di bawah pengawasan Kementerian agar bersesuaian dengan situasi semasa. Kerajaan akan memulakan proses meminda akta-akta tersebut dalam masa terdekat," jelas beliau.

(Sumber foto: Ahmad Idham Facebook)

Cinema Online, 25 Jul 2020

Waktu Tayangan