Helaian muka surat diari Sushant Singh Rajput telah dikoyakkan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Helaian muka surat diari Sushant Singh Rajput telah dikoyakkan

Penulis: Nisa Irina

 Terdapat dakwaan yang mengatakan Sushant menulis pengakuan sebelum mati di dalam diari peribadinya.
Terdapat dakwaan yang mengatakan Sushant menulis pengakuan
sebelum mati di dalam diari peribadinya.

8 Ogos – Satu per satu perkara mengenai kematian aktor Bollywood Sushant Singh Rajput dibongkarkan oleh pihak Polis Mumbai dan Polis Bihar yang masih menjalankan siasatan selepas kes itu dihantar ke Biro Siasatan Pusat India (CBI).

Terkini, pihak polis menemui sesuatu yang mengejutkan iaitu beberapa helaian muka surat dari diari peribadi milik Sushant yang mengandungi butiran-butiran penting telah dikoyakkan.

Menurut laporan dari Times Now, peguam Shehzad Poonawalla mengesyaki bahawa helaian-helaian yang dikoyakkan itu mengandungi pengakuan Sushant sebelum kematiannya dan Polis Mumbai sedang menyembunyikan sesuatu.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Rajya Sabha, Subramanian Swamy, yang mengikuti perkembangan kes Sushant dan meminta CBI menjalankan siasatan, mendakwa terdapat dalang di sebalik kematian aktor filem "Chhichhore" itu.

Terdahulu, aktres dan bekas teman wanita Sushant, Ankita Lokhande, pernah mendedahkan bahawa Sushant mempunyai sebuah diari peribadi di mana dia mencatatkan kehidupan sehariannya serta perancangannya lima tahun yang akan datang.

Sehingga kini masih belum ada pengesahan terhadap dakwaan-dakwaan yang dibuat memandangkan siasatan masih dijalankan dan Polis Mumbai telah pun melakukan soal siasat terhadap 40 orang yang mempunyai pertalian dengan Sushant.

Baru-baru ini, aktres Rhea Chakraborty yang juga teman wanita Sushant, didakwa telah memindahkan sejumlah wang dari akaun bank milik Sushant ke akaun bank miliknya. Walau bagaimanapun, tiada transaksi yang ditemui dan siasatan masih dijalankan.

Sushant ditemui meninggal dunia di kediamannya pada 14 Jun lalu selepas bertindak menggantung diri. Difahamkan aktor itu mengalami kemurungan dan tekanan selama enam bulan kerana industri Bollywood.

(Sumber: Times Now News)
(Sumber foto: Dabboo Ratnani Photography)

Cinema Online, 08 Ogos 2020

Waktu Tayangan