27 Nov – Siapa sangka jika dahulunya watak adiwira Ultraman Ribut yang diperkenalkan menerusi siri animasi popular "Upin & Ipin" hanya muncul sebagai watak sampingan, kini ia diangkat sebagai watak utama di Jepun. Sedia tahu bahawa Ultraman adalah salah satu adiwira paling terkenal di negara matahari terbit itu, dan kehadiran Ultraman Ribut semestinya menjadi kebanggaan buat Malaysia, terutamanya peminat tegar siri "Ultraman".
Seperti kebanyakan Ultraman lain, Ultraman Ribut juga mempunyai ketinggian 40 meter dan beratnya pula mencecah 40,000 tan. Ultraman Ribut adalah ahli "Galaxy Rescue Force" yang bertanggungjawab untuk melindungi dan menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan, menggunakan kuasa istimewanya Galaxium Blaster yang diperoleh dari G Crystal. Apa yang lebih menarik, teknik berlawan Ultraman Ribut juga lain daripada yang lain, di mana dia menggunakan teknik seni mempertahankan diri Pencak Silat, sekaligus memperkenalkan seni budaya Asia Tenggara. Kini para peminat boleh menonton Ultraman Ribut beraksi dalam siri terbaru "Ultra Galaxy Fight: The Absolute Conspiracy" yang kini ditayangkan di saluran YouTube rasmi Ultraman Official Tsuburaya Productions. Terdahulu, Ultraman Ribut membuat kemunculan kali pertama dalam siri "Ultra Galaxy Fight: New Generation Heroes" yang turut ditayangkan menerusi saluran YouTube sama. (Sumber foto: Tsuburaya Productions)