Kim Bum buat kemunculan semula dalam drama baru | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Kim Bum buat kemunculan semula dalam drama baru

Penulis: Nisa Irina

Kim Bum pelajari gerak geri musang untuk menghayati wataknya dengan lebih mendalam.
Kim Bum pelajari gerak geri musang untuk menghayati wataknya dengan lebih mendalam.

30 Sep – Setelah dua tahun kelibatnya tidak berlakon dalam mana-mana filem mahupun drama bersiri, kini pelakon Korea Selatan, Kim Bum sedia membuat kemunculan semula menerusi sebuah drama baru.

Menerusi drama fantasi yang diberi judul "Tale of the Nine Tailed" itu, Kim Bum atau nama sebenarnya Kim Sang-bum, akan digandingkan dengan pelakon terkenal Lee Dong-wook dan Jo Bo-ah.

Kim Bum mendedahkan sebab dia memilih drama ini adalah kerana idea kandungannya yang segar, serta tertarik dengan watak yang ditawarkan, Yi Rang, separuh manusia dan separuh 'gumiho' (musang berekor sembilan).

"Sekali pandang, watak ini dilihat sebagai watak jahat, tetapi sebenarnya dia banyak kisah sedih, jadi ada beberapa aspek yang mudah difahami.

"Dia seorang yang baik tetapi ada situasi dan salah faham yang mengubah pendiriannya. Namun ia bukanlah watak yang akan dibenci," katanya yang dipetik dari Soompi.

Untuk menghayati wataknya dengan lebih mendalam, Kim Bum banyak mempelajari gerak geri musang, serta menyelidik sejarah dan latar belakang 'gumiho'.

"Saya turut mencadangkan idea untuk menggunakan gerak geri seakan-akan mencakar berbanding bertumbuk untuk babak pergaduhan," tambah pelakon yang popular dengan drama "Boys Over Flowers" itu.

Diarahkan oleh Kang Shin-hyo, "Tale of the Nine Tailed" akan mula bersiaran pada 7 Oktober ini.

(Sumber foto: Soompi)

Cinema Online, 30 Sept 2020

Filem Berkaitan:
Young Detective Dee: Rise Of The Sea Dragon (Mandarin) (26 Sept 2013)


Waktu Tayangan