Lagu "Goyang Upin & Ipin" catat rekod lebih 3 juta tontonan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Lagu "Goyang Upin & Ipin" catat rekod lebih 3 juta tontonan

Penulis: Nisa Irina

Kata kunci #GoyangUpinIpin tular di media sosial.
Kata kunci #GoyangUpinIpin tular di media sosial.

6 Ogos – Syarikat produksi animasi Les' Copaque Production Sdn Bhd berjaya mencipta fenomena terbaru apabila lagu animasi kegemaran ramai "Upin & Ipin" berjudul "Goyang Upin & Ipin" mendapat sambutan menggalakkan.

Kelainan yang dibawakan oleh Les' Copaque dalam lagu kali ini adalah irama serta tarian dari negara seberang Indonesia iaitu dangdut memandangkan animasi "Upin & Ipin" sudah lama memasuki pasaran di negara tersebut.

Video muzik "Goyang Upin & Ipin" yang dimuat naik di saluran YouTube rasmi Les' Copaque Channel pada 3 Ogos lalu berjaya memecah rekod apabila menerima lebih sejuta tontonan dalam tempoh 24 jam.

Ketika artikel ini ditulis, video muzik berdurasi hampir lima minit itu telah pun mencecah lebih tiga juta tontonan berserta lebih 78,000 tanda suka. Malah, kata kunci #GoyangUpinIpin turut tular di media sosial.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir warganet di Malaysia mempersoalkan mengapa Les' Copaque memilih untuk mengangkat budaya seberang berbanding negara sendiri yang kaya dengan pelbagai irama tradisional.

"Wahai Les' Copaque, saya dan anak-anak sangat sukakan "Upin & Ipin". Kami menggemari semua elemen tradisional dan budaya yang disertakan. Tetapi ini tidak sesuai. Ini bergelek gaya Nusantara.


"Rancangan ini tidak sepatutnya mengajar kanak-kanak untuk bergelek. Memaparkan budaya Indonesia memang bagus, tetapi bukan dangdut," tulis seorang pengguna Twitter.

Namun begitu, ramai juga yang melihat dari sudut positif dan menganggap ia sebagai satu strategi pihak Les' Copaque untuk mengekalkan serta mengukuhkan pasaran animasi "Upin & Ipin" di Indonesia.

(Sumber foto: Les' Copaque Twitter)

 

Cinema Online, 06 Ogos 2020

Filem Berkaitan:
Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal (Malay) (21 Mar 2019)
Upin Dan Ipin: Jeng Jeng Jeng! (Malay) (24 Nov 2016)
GENG: PENGEMBARAAN BERMULA (Malay) (12 Feb 2009)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan