"MALU" bakal buat tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-33 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"MALU" bakal buat tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-33

Penulis: Nisa Irina


"Malu" merupakan filem kerjasama antara produksi Malaysia dan Jepun.

30 Sep – Studio produksi Kuan Pictures berjaya melakar sejarah tersendiri apabila filem terbaru mereka, "MALU", bakal membuat tayangan perdananya di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-33 yang bakal berlangsung pada November 2020.

Berita gembira itu telah dikongsikan menerusi sebuah kenyataan di laman Facebook Kuan Pictures, berserta ucapan penghargaan buat semua pihak yang terlibat dalam menjayakan filem arahan Edmund Yeo ini.

"Sukacitanya kami ingin mengumumkan bahawa filem kami, "MALU", ditulis dan diarahkan oleh Edmund Yeo, akan membuat tayangan perdananya di Festival Filem Antarabangsa Tokyo pada November 2020.

"Kami ingin berterima kasih kepada seluruh keluarga "MALU" dari pelbagai negara serata dunia yang menyertai kami dalam projek ini.

"Kami sangat teruja untuk mempersembahkan filem ini kepada para penonton dalam waktu sukar ini. Akhir sekali, kami ingin berterima kasih kepada pihak penaja dan kolaborasi yang menghidupkan filem ini," tulis mereka.

Sedikit butiran, "MALU" merupakan filem cereka ketiga arahan Edmund Yeo, hasil kerjasama produksi Malaysia dan Jepun, di mana penggambarannya berlangsung pada September 2017, di beberapa lokasi di Jepun termasuk Hokkaido, Yokohama dan Sapporo.

Pada 2017, Yeo menjadi pembikin filem Malaysia pertama yang memenangi Anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-30 untuk filemnya "AQERAT".

Selain pelakon Malaysia, May June Tan dan Sherlyn Seo, filem "MALU" turut dibintangi pelakon lain seperti Kiko Mizuhara, Lynn Lim, Seck Fook Yee, Debbie Loo dan Isabel Alessandra Jalleh.

Buat makluman lanjut, "MALU" merupakan salah satu daripada lebih 30 buah filem lain seperti "Underdog", "Come and Go", "Jang-Gae: The Foreigner" dan "ZOKKI", yang akan ditayangkan di festival filem tersebut.

(Sumber foto: Kuan Pictures Facebook)

Cinema Online, 30 Sept 2020

Waktu Tayangan