Maya Karin bakal jadi hantu lagi dalam filem terbaru? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Maya Karin bakal jadi hantu lagi dalam filem terbaru?

Penulis: Ashraf Nasser

Maya Karin turut umumkan penutupan terus perniagaan burger bakarnya bermula 1 Ogos.
Maya Karin turut umumkan penutupan terus perniagaan burger bakarnya bermula 1 Ogos.

4 Ogos – Pelakon, model dan pengacara popular Maya Karin telah memberi bayangan bakal kembali menjayakan watak hantu selepas kali terakhir menjayakan watak hantu pada tahun 2005 menerusi filem seram "Pontianak Harum Sundal Malam 2".

Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke memberi bayangan itu selepas memuat naik sekeping fotonya yang disunting kelihatan seperti terapung dengan kapsyen ringkas di laman sosial Instagram miliknya baru-baru ini.

"Bakal menemui anda tidak lama lagi. Hantu lain," tulisnya.


Maya Karin muat naik foto yang disunting seperti dia sedang terapung tanpa kaki.
Bagaimanapun aktres itu tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai naskhah yang bakal dibintanginya.

Semakan di laman Wikipedia turut tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai filem seram terbaru lakonannya.

Dalam pada itu, Maya yang mengusahakan perniagaan Burger Bakar Maya Karin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengambil keputusan untuk menutup terus perniagaannya itu bermula 1 Ogos lalu walaupun perniagaannya mendapat sambutan daripada orang ramai.

Wanita berusia 40 tahun itu terpaksa mengambil keputusan itu berikutan kecewa apabila ada pihak cuba ambil kesempatan.

"Penghantaran terakhir #burgerbakarmayakarin kepada Maahad Tahfiz Lil Aytam. Dengan ini saya ingin mengumumkan #burgerbakarmayakarin akan tutup bermula 1 Ogos ini. Dengan itu saya memberitahu saya tidak terlibat dengan mana-mana jenama burger.

"Projek burger ini bermula pada musim PKP untuk mengisi masa yang terluang. Sejujurnya niat di hati ingin memperluaskan burger bakar saya tapi saya mendapati ada pihak mengambil kesempatan jadi itu antara sebab saya mengambil keputusan untuk tutup terus," jelasnya.

Pada masa sama Maya turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokong perniagaannya sebelum ini.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya Maya bakal muncul dengan empat buah filem terbaru iaitu "Olympic Dream", "Alone", "Alam:Kingdom" dan "Abang Long Fadil 3".

(Sumber foto: Maya Karin Instagram)

Cinema Online, 04 Ogos 2020

Filem Berkaitan:
PONTIANAK HARUM SUNDAL MALAM II (Malay) (24 Nov 2005)
Jwanita (Malay) (24 Sep 2015)
Bulan Dan Pria Terhebat (Malay) (12 Mar 2020)


Waktu Tayangan