Pengarah aksi Hollywood & Korea akan garap filem Ajay Devgn? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Pengarah aksi Hollywood & Korea akan garap filem Ajay Devgn?

Penulis: Nisa Irina

Aditya Chopra telah sediakan watak istimewa buat Ajay Devgn.
Aditya Chopra telah sediakan watak istimewa buat Ajay Devgn.

29 Sep – Baru-baru ini aktor, pengarah dan penerbit Bollywood terkenal Ajay Devgn dilaporkan akan membintangi sebuah filem aksi yang diterbitkan di bawah syarikat produksi Yash Raj Films (YRJ).

Sehubungan dengan itu, penerbit Aditya Chopra berhasrat untuk memaparkan babak-babak aksi filem itu dalam skala besar dengan melibatkan dua pengarah aksi dari Hollywood dan Korea Selatan.

"Pihak produksi sedang berbincang dengan pengarah aksi Hollywood, Tom Struthers, yang sebelum ini bekerja untuk filem "The Dark Knight" dan "Dunkirk".

"Mereka juga merancang untuk mendapatkan khidmat pengarah aksi Korea Selatan, SeaYoung Oh, yang terkenal dengan kerjanya dalam filem "Snowpiercer"," dedah sumber yang dipetik dari Filmfare.

Buat makluman lanjut, sebelum ini SeaYong Oh pernah bekerja dalam produksi filem Bollywood lain, iaitu "War", "Zero" dan "Fan", filem adiwira Marvel, "Avengers: Age of Ultron", serta filem Korea, "Parasite".

Beralih kepada Ajay, Aditya telah pun menyediakan watak menarik yang akan digalas oleh aktor tersebut, dengan harapan watak itu bakal diingati para penonton sampai bila-bila.

"Watak itu lebih kurang sama dengan watak Hrithik Roshan dan Aamir Khan dalam "Dhoom 2" dan "Dhoom 3".

"Ajay dijangka akan membawa beberapa penampilan berbeza melibatkan penggunaan prostetik," tambah sumber itu lagi.

Buat masa ini, pihak produksi masih belum mendedahkan judul mahupun jadual produksi filem itu, yang bakal menjadi debut kepada sepupu aktres Ananya Panday iaitu Ahaan Panday.

(Sumber: Filmfare)
(Sumber foto: BollywoodFare)

Cinema Online, 30 Sept 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan