Salman Khan tanggung kos rawatan Faraaz Khan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Salman Khan tanggung kos rawatan Faraaz Khan

Penulis: Nisa Irina

 Sikap Salman Khan yang kuat menderma menerima pujian rakan-rakan selebriti.
Sikap Salman Khan yang kuat menderma menerima pujian rakan-rakan selebriti.

17 Okt – Terkenal dengan hati murninya, bintang Bollywood terkenal Salman Khan dilaporkan telah menanggung kos rawatan bekas aktor Faraaz Khan yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Hospital Vikram, Bengaluru.

Berita itu telah dikongsi oleh aktres Kashmira Shah, yang pernah beberapa kali bekerjasama dengan Salman menerusi filem, di laman Instagram miliknya.

"Kamu adalah seorang manusia yang baik. Terima kasih kerana mengambil berat tentang Faraaz Khan dan menanggung kos rawatannya.

"Aktor Faraaz Khan yang terkenal dengan filem "Fareb" berada dalam keadaan kritikal dan Salman berada di sisinya dan membantunya seperti mana dia membantu ramai lagi yang lain.

"Saya akan sentiasa menjadi peminat setianya. Jika ada yang tak suka dengan perkongsian ini, saya tak kisah. Kamu ada pilihan untuk berhenti mengikuti saya.

"Ini adalah apa yang saya rasa dan fikirkan. Saya menganggap Salman sebagai orang yang paling ikhlas dalam industri filem ini (Bollywood)," tulisnya.

Faraaz dilaporkan telah mengalami sawan akibat jangkitan Herpes ketika dikejarkan ke hospital sebelum disahkan menghidap jangkitan otak dan pneumonia.

Terdahulu, adik Faraaz yang juga aktor TV Fahmaan Khan, telah memohon sumbangan orang ramai dalam bentuk kewangan sebanyak Rs 25 lakh (RM141,420.36) bagi menanggung kos rawatan.

(Sumber foto: Forbes)

Cinema Online, 17 Okt 2020

Waktu Tayangan