SENIMAN akui kenyataan SPRM ada artis terlibat dengan sindiket pelacuran | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

SENIMAN akui kenyataan SPRM ada artis terlibat dengan sindiket pelacuran

Penulis: Ashraf Nasser

Sumber SPRM dedah segelintir artis dan instafamous terima bayaran sekitar RM20,000 hingga RM40,000 untuk satu malam.
Sumber SPRM dedah segelintir artis dan instafamous terima bayaran sekitar RM20,000 hingga RM40,000 untuk satu malam.

20 Okt – Industri hiburan tanah air terus menjadi tumpuan rakyat Malaysia apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil membuat pendedahan terbaru yang mendakwa terdapat segelintir artis yang terlibat dengan sindiket pelacuran kelas atasan.

Perkara itu nyata tidak mengejutkan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) iaitu Zed Zaidi yang turut percaya ada segelintir artis yang terlibat dalam kegiatan haram itu.

"Sebabnya sekarang cabaran kita ialah media sosial. Mereka menggunakan media sosial untuk menunjukkan kemewahan yang tidak setara dengan pendapat mereka. Ia sekali gus menunjukkan yang mereka mungkin terbabit dengan perkara itu.

"Apa yang kita bimbangkan adalah hanya disebabkan segelintir selebriti, ia boleh mencemarkan imej industri hiburan tanah air," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah Zed lagi, dengan situasi industri ketika ini yang terjejas teruk akibat COVID-19 menyebabkan ramai yang tiada 'job' dan ini secara tidak langsung menjadikan mereka terjebak dengan kegiatan tidak bermoral ini.

Dalam pada itu, Zed berkata pihak SENIMAN akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terbabit dan akan menyerahkan perkara berkaitan kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan.

Sekiranya ada artis yang didapati terbabit dan bersalah, pihak SENIMAN akan ambil tindakan menyenarai hitamkan artis tersebut.

Terdahulu menerusi laporan Mingguan Malaysia, sumber SPRM telah mendedahkan mereka kini sedang memerhati segelintir artis dan instafamous tempatan yang dipercayai terlibat dengan sindiket pelacuran kelas atasan.

Sumber itu berkata artis dan instafamous ini dipercayai dibayar antara RM20,000 hingga RM40,000 untuk satu malam untuk memuaskan nafsu golongan orang kenamaan dan berpengaruh.

SPRM bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama yang terlibat sebaliknya akan terus memantau bagi mengumpul bukti sebelum tindakan selanjutkan dilakukan.

(Sumber foto: commons.wikimedia.org)

Cinema Online, 20 Okt 2020

Waktu Tayangan