FINAS beri insentif ujian swab untuk pelakon dan kru produksi | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

FINAS beri insentif ujian swab untuk pelakon dan kru produksi

Penulis: Nisa Irina

 Setiap syarikat produksi akan diberi insentif sebanyak RM5,000. (Gambar hiasan)
Setiap syarikat produksi akan diberi insentif sebanyak RM5,000. (Gambar hiasan)

15 Okt – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melaksanakan Insentif Saringan Prihatin kepada syarikat produksi untuk menjalankan ujian saringan 'swab test' COVID-19 terhadap para pelakon dan kru.

Ia susulan kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran berjalan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa pada 14 Oktober hingga 27 Oktober di Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan.

Menurut pengerusi FINAS Zakaria Abdul Hamid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, pihaknya ingin memastikan keselamatan kru produksi dan artis sentiasa terjamin di lokasi penggambaran selain mengekang penularan wabak itu.

Walau bagaimanapun, insentif ini hanya terhad kepada syarikat produksi yang berdaftar di bawah FINAS serta menjalankan penggambaran dalam tempoh PKPB sahaja dan kos saringan harus ditanggung oleh syarikat produksi terlebih dahulu.

"Kos saringan 'swab test' COVID-19 ke atas kru produksi dan artis hendaklah ditanggung terlebih dahulu oleh syarikat produksi dan perlu mengemukakan dokumen tuntutan kepada FINAS.

"Kadar maksimum bagi tuntutan insentif ini berjumlah RM5,000 bagi setiap syarikat produksi. Ujian saringan 'swab test' hanya boleh dilakukan melalui Pakej Khas FINAS di klinik panel berdaftar iaitu Megaklinik Zahran, Bandar Baru Bangi.

"Pihak Megaklinik Zahran juga boleh menjalankan ujian saringan di lokasi penggambaran yang dipersetujui," katanya.

Cinema Online, 15 Okt 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan